9 Rabi'ul awal 1434H,
KUALA LUMPUR, 20 JAN: Kesan daripada gangguan bekalan
air di Lembah Klang selama lebih dua minggu masih dirasai penduduk beberapa
pangsapuri di Bandar Tun Razak, yang menceritakan pengalaman perit yang
terpaksa diharungi.
Oleh kerana tiada lif, penghuni
di pangsapuri Seri Melaka terpaksa mengangkat air sampai ke tingkat empat.
“Masa ketiadaan air semua susah…
anak sekolah dan warga emas sampai bengkak kaki. Sampai ada kandungan yang
gugur,” kata Che Menah Che Mat, seorang penghuni flet tersebut.
“Isu angkat air dari tingkat
bawah sampai tingkat empat. Belum sampai tingkat empat, air dah tinggal
suku,” katanya kepada TVSelangor.
Penghuni pangsapuri tersebut
antara setengah juta penduduk di Ampang, Cheras dan Gombak yang terputus
bekalan air dari 29 Disember hingga ke 15 Januari
Ia berpunca daripada kegagalan
pam di rumah pam Wangsa Maju yang diuruskan Syarikat Bekalan Air Selangor
(Syabas).
Siasatan Jawatankuasa Pemantau
Bekalan Air Selangor mendapati kegagalan pam tersebut adalah disebabkan Syabas
tidak menyelenggaranya dengan baik.
Semalam, 30 orang penghuni
pangsapuri tersebut mengadakan tunjuk perasaan bagi mengutuk kelalaian Syabas
yang telah mengakibatkan kesulitan kepada mereka.
Seorang lagi penduduk, Hisham
Abbas yang tinggal di Pangsapuri Sri Penara berkata, sesetengah air yang
dihantar oleh Syabas menggunakan lori tangki, didapati keruh dan kotor.
Menurut Hisham, lif mereka rosak
kerana terpaksa beroperasi lebih masa untuk mengangkut air ke rumah.
“Kami terpaksa angkat air dari
bawah ke atas dengan lif rosak. Mula-mula dua (dari tiga lif) kemudian sampai
lif semua rosak. Terpaksa menggunakan tangga.
“Syabas banyak duit, sampai
CEO-nya gaji beribu-ribu. Tapi hantar lori tangki kecil. Berbeza dengan tangki
yang dihantar (Menteri Besar), Tan Sri Abdul Khalid, tangki besar.
“Tapi yang dia orang hantar,
kebanyakan memang kotor dan keruh airnya,” kata Hisham lagi.
Mohamad Saiful dari Pangsapuri
Cendana pula berkata, umat Islam mengalami kesukaran untuk berwuduk ketika
solat Jumaat di Masjid An-Najihin dua minggu lalu.
Beliau memuji tindakan pantas
Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang membekalkan satu tangki air untuk
kegunaan orang awam pada hari berkenaan.
“Saya berterima kasih kepada
Kerajaan Selangor dan Jawatankuasa Pemantauan yang turun ke padang
melihat sendiri apa yang berlaku sekaligus memberikan tekanan untuk keadaan
kembali pulih.
“Ini satu penganiayaan jelas kepada penduduk dan jelas
Syabas tidak cekap memandangkan air merupakan keperluan asas kehidupan,” katanya.-tvs






0 ulasan:
Catat Ulasan